SOALAN-SOALAN YANG LAZIM DITANYA

Apakah yang dimaksudkan dengan Sungai Nadi Kehidupan?

Sungai Nadi Kehidupan ialah projek mercu tanda yang tersenarai dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Greater Kuala Lumpur/Klang Valley (GKL/KV) di bawah Program Transformasi Negara (NTP). Projek ini mendukung matlamat untuk merubah keadaan lapan batang sungai yang merentasi daerah GKL/KV dengan kepanjangan 110km sehingga kesemua sungai ini mencapai kualiti air Kelas IIb (selamat bagi aktiviti rekreasi dan sentuhan badan). Selain itu, matlamat juga disasarkan agar sungai yang mengalir sepanjang 10.7km menembusi pusat bandar KL terserlah indah dan selamat bagi tujuan kependudukan dan rekreasi.

Mengapakah projek ini disenaraikan dalam Program Transformasi Negara?

Program Transformasi Negara (NTP) yang dilancarkan pada tahun 2009 memfokuskan transformasi Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dengan bertunjangkan penambahbaikan sosioekonomi yang kukuh. NTP memprioritikan sektor-sektor ekonomi yang dianggap kritikal terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia secara mampan dengan hasrat meningkatkan tahap penyertaan sektor swasta serta pelaburan swasta dalam ekonomi negara. Projek Sungai Nadi Kehidupan dan projek-projek lain seumpamanya dikenal pasti berperanan sebagai pemacu ekonomi yang mampu menarik pelaburan yang disasarkan.

Mengapakah Sungai Nadi Kehidupan dianggap sebuah projek yang mustahak kepada Greater KL/KV?

NKEA GKL/KV menanam hasrat yang besar, yakni mentransformasikan ibu kota negara kepada sebuah kota metropolis bertaraf dunia. Seiring dengan hasrat ini, NKEA GKL/KV turut meletakkan sasaran agar Kuala Lumpur berstatus antara 20 bandar berdaya huni yang terbaik di dunia, dan antara 20 bandar yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang terpantas pada tahap global. Usaha ini digiatkan dengan berlatarkan contoh bandar-bandar dunia seperti Singapura dan Seoul sebagai tanda aras, kerana kedua-dua bandar tersebut telah menggiatkan projek yang serupa, iaitu membersihkan sungai sekali gus membangunkan sisiran sungai mereka.

Justeru, projek Sungai Nadi Kehidupan menggabungkan usaha pelbagai pihak bagi memastikan kebersihan sungai terpelihara menerusi aktiviti-aktiviti promosi, kawal selia dan penguatkuasaan terhadap penggunaan sungai serta amalan-amalan terbaik membabitkan penjagaan sungai. Hasrat utama adalah untuk mendorong kualiti hidup yang lebih sempurna bagi penduduk GKL/KV berserta penampilan persekitaran hijau, kesalinghubungan dan kebersihan keseluruhan yang jauh lebih baik.

Sungai yang lebih bersih dan segar bertenaga pastinya akan mencetuskan pelbagai aktiviti rekreasi di sungai dan kawasan sekitarnya, sekali gus, sektor-sektor pelancongan, pemborongan dan komersial akan turut meraih tempias kesan lonjakan. Bahkan, aktiviti rekreasi dan riadah seperti ini turut membuka peluang untuk kita ketengahkan tapak-tapak bersejarah yang kita banggakan seperti Masjid Jamek, Little India dan Chinatown (Petaling Street) ke pesada dunia di samping membangkitkan semangat orang ramai untuk terus memulihara tapak-tapak bersejarah seumpamanya.

Apakah cabaran yang dihadapi dalam usaha ini?

Projek ini merangkumi tiga komponen utama iaitu Pembersihan Sungai, Pengindahan Sungai dan Pengkomersialan & Pelancongan. Setiap komponen berdepan dengan beberapa cabaran fizikal termasuk isu infrastruktur, banjir dan lain-lain. Sering kali, kekangan yang dihadapi berkait rapat dengan corak pemikiran masyarakat yang berkepentingan serta impak yang berlaku rentetan sikap mereka terhadap ekosistem sungai.

Hal ini turut membabitkan, antara lain, masalah pembuangan sampah/sisa pepejal ke dalam saliran air yang kerap berlaku di kawasan setinggan/perkampungan tradisional; pembuagan sisa dan hampas organik (iaitu sisa dapur, sampah laman dll); kumbahan atau lelehan air kotor yang dilepaskan terus ke dalam sungai tanpa dirawat terlebih dahulu dan kerja-kerja pembersihan tebing sungai yang dilakukan tanpa kelulusan.

Perlukah sektor swasta dan rakyat ikut serta dalam projek Sungai Nadi Kehidupan?

Sudah tentu! Keprihatinan terhadap sungai ialah tanggungjawab kita bersama. Biarpun banyak langkah yang diambil Kerajaan, termasuklah penyambungan paip kumbahan ke loji rawatan kumbahan yang baharu atau diperbaik, serta pemasangan perangkap sampah di sepanjang sungai-sungai terbabit, namun terserahlah kepada rakyat dan masyarakat yang mendiami kawasan sekitar sungai untuk memastikan, sedapat mungkin, agar tiada sampah dan bahan kotor yang terbolos masuk lantas mencemari sungai-sungai.

Pada masa yang sama, sektor swasta juga wajar memanfaatkan sebanyak peluang yang mungkin untuk membantu mewujudkan dan melestarikan sungai yang lebih bersih, sesuai bagi tujuan aktiviti rekreasi. Usaha ini boleh dilaksanakan, sebagai contoh, menerusi program ekopelancongan atau sukan air.

Bagaimana boleh saya turut serta dalam usaha ini?

Anda boleh turut sama dengan pelbagai cara. Pertama, menerusi tajaan secara kewangan. Kedua, dengan sumbangan khidmat bakti anda sebagai sukarelawan dalam inisiatif Pembersihan Sungai yang dianjurkan. Ketiga, anda juga boleh menyertai pelangganan surat berita ROL kami yang menyelitkan maklumat serta berita terkini tentang aktiviti yang boleh anda lakukan untuk memelihara sungai, sekali gus mengikuti perkembangan aktiviti-aktiviti terkini yang kami anjurkan.