Syurga yang kian menghilang

Mencari kembali Sungai Bunus, sungai terselindung di Kuala Lumpur

Disebabkan banyak tanah kini ditutupi jalan berturap dan laluan berkonkrit, parit bergelut untuk menampung hujan lebat.

Kisahnya bermula dengan banjir.

Berteduh daripada hujan yang mencurah di Setapak, di tempat inilah Sungai Bunus mula-mula menampakkan dirinya. Arusnya tidak sendirian, sebaliknya banyak gelombang deras yang berderu keluar dari hutan di kaki bukit, berhampiran dengan sebuah kawasan letak kereta terbuka yang luasnya dua padang bola sepak. Parit konkrit kecil itu bukan lawannya, dan dalam sekelip mata sahaja, jalan utama sudah ditenggelami sehingga paras buku lali. Sebuah kereta teragak-agak mahu melintas sebelum memecut laju mengharungi air yang hmapir mencecah plat nombornya.

Sekitar kawasan itu, langit guruh menghamburkan airnya lantas memenuhi jalan yang akhirnya memenuhi parit besar yang bertanda Sungai Bunus. Air itu meningkat dalam masa beberapa minit sahaja, mengingatkan saya tentang kisah ciptaan dalam banyak budaya dan agama, dari bermulanya epik Gilgamesh sehinggalah agama Abrahamik, apabila ketamadunan dilanda banjir besar menenggelamkan kota dan kerajaan seluruhnya. Tetapi masih, kemanusiaan terus bertahan.

Dari Seksyen 2 Wangsa Maju ia mengalir sepanjang 7km melalui kawasan kediaman sebelum masuk ke pusat bandar dan seterusnya mengalir masuk ke dalam Sungai Klang. Tetapi anda tidak akan dapat melihat semua ini berlaku, kerana kita sebenarnya sudah kehilangan Bunus.

Dari titik mulanya di Wangsa Maju, Sungai Bunus mengalir masuk ke dalam ibu kota sebagai parit air hujan, bertentangan daripada tanggapan umum tentang rupa sebatang sungai.

Tiada siapa tahu

“Ada sungai ke di sini?” walaupun sudah menjadi penduduk Wangsa Maju sejak 20 tahun lalu, Yati terkejut mendengar tentang Bunus dan tambah hairan mengapa ada orang yang masih peduli dan mahu mencarinya. Dia memandu UBER untuk menyara hidup, dan inilah kali pertama dia berjumpa penumpang yang meminta di hantar ke destinasi yang tidak tersenarai dalam sistem.

Sebaik sahaja mendengar yang kebanyakkan sungai ibu kota sedang diperbaiki dan diindahkan menerusi projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL), dia teringatkan graffiti yang terlukis di sepanjang tebing konkrit Sungai Klang, berhampiran dengan stesyen LRT Pasar Seni. Dia sukakan idea itu. “Bagus sekali mereka buat sesuatu yang berseni seperti itu. Sama macam di luar negara kan? Daripada biarkan hanya kosong begitu sahaja.”

Ideanya tentang sungai dikongsi oleh ramai lagi mereka yang menggelarkan KL sebagai kampung halaman; sebatang sungai perlu menjadi kawasan yang romantik dan kawasan berseni di tengah bandar, atau aliran jernih di kampung yang dikelilingi kehijauan merimbun. Tetapi realitinya tidak semudah itu dan rakyat hanya melihat sungai di KL tidak lebih daripada sekadar parit keruh yang terabai.

Ditutup dengan konkrit yang menjunam tajam, dan kehadiran berterusan sampah terapung menjadikan ia parit banjir tidak bernama yang diharapkan mampu menampung arus deras setiap kali hujan menggila. Betapa tragiknya bila Bunus ialah satu-satunya sungai di KL tanpa hulu yang jernih tenang seperti Kampung Taman Warisan untuk Sungai Klang atau kawasan perkelahan air terjun Sungai Keroh.

Kawasan berhampiran perumahan kos rendah pun bertukar menjadi lompang cetek sebaik sahaja hujan turun, dan apa sahaja yang berada di atas tanah dibawa arus ke sungai.

Padah yang dipinta

Berhampiran kepala air Bunus yang letaknya berdekatan Wangsa Maju, Setapak, tanah itu dihuni kawasan perumahan luas dengan pemandangan yang biasa didapati di kawasan sebegitu; kopitiam lot tepi, bengkel kenderaan, restoran buka-24jam dan kedai runcit. Di sini Bunus mengalir di belakang rumah teres. Ini ialah perumahan kelas menengah, di mana anda hidup menyempit jiran, hanya dipisahkan dengan dinding meninggi. Laman rumah tidak wujud; mana-mana ruang kosong digunakan untuk tujuan praktikal, seperti meletakkan kereta, mengeringkan cucian atau menjadi tempat simpanan barangan yang tidak lagi mampu ditempatkan dalam rumah, sehingga ada yang menjadi timbunan barang yang mengunung.

Pandangan sungai terhalang dengan sekatan buatan manusia, sebuah papan tanda tertulis ‘Dilarang Masuk’ ditempa daripada kepingan besi yang diletakkan oleh komuniti tidak rasmi sungai Bunus, penduduk kawasan itu sendiri. Ada juga pasu besar, pokok, tiang elektrik, kepingan Perspex, botol plastik, lebih banyak jongkong kayu, dan lebih banyak papan lapis dan apa sahaja yang boleh diperolehi untuk memisahkan Bunus daripada mereka yang sukakan cabaran meneroka kawasan larangan.

Berasal dari luar bandar, Nazri (bukan nama sebenar) sudah berniaga di sini sejak lebih 10 tahun lalu. Kedainya dibina diatas konkrit beratapkan zink, sinki di luar kedai dihubungkan terus dengan parit di luar.

Berhampiran dengan sebuah kolej besar yang di bina di situ, rumah memberikan laluan kepada kondominium yang padat, di mana penginapan berlambak dan murah. Untuk hanya RM100, seorang pelajar luar bandar boleh mendapat sebuah katil, dalam sebuah rumah yang mungkin dikongsi hampir 15 orang lain. Dalam sebuah apartmen 3 billik tidur, katil dan tilam bujang bersepah di sana sini, memaksimumkan kawasan tidur. Ada tilam yang terhampar sehingga ke lantai dapur, dari luar sudah kelihatan. Jika anda terdesak, katil berkembar juga tersedia: 12 jam untuk seorang, anda boleh tidur di waktu pagi, saya akan lena di waktu malam.

Untuk mereka yang berkemampuan rendah, tempat ini masih sesuai untuk tinggal. Harga makanan pula selalunya mampu ditanggung: Sepinggan juadah lengkap dengan minuman masih boleh dibeli di bawah RM10, menjimatkan lagi wang anda.

Kemampuan, sebuah teka-teki antara kuantiti berbanding kualiti ada akibatnya, dan Bunus terpaksa menanggungnya. Peniaga makanan kawasan ini mengabaikan apa sahaja peraturan kebersihan untuk mengurangkan kos. Pinggan dan mangkuk hanya dibasuh di tepi longkang, dan apa sahaja cubaan untuk menggunakan sinki tiada kesannya kerana paip disalurkan terus ke dalam longkang yang sama. Tanpa perangkap gris bersesuaian yang dipasang betul, sisa makanan dan minyak mengalir terus ke dalam Bunus, dan ia tidak menjadi kerisauan ramai orang.

Di kawasan sama selepas waktu puncak berlalu, gerai di bawah tiang konkrit landasan LRT menunggu hujan reda sebelum didirikan tak ubah seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan.

Peluang kedua

Mengikut sejarah, komuniti cenderung untuk membina kehidupan mereka di sekitar sungai atau sumber air. Ia membersihkan kita, membekalkan makanan dan menjadi rangkaian perhubungan. Tetapi pada masa kini, disebabkan adanya paip yang menyalurkan air, kita sudah melupakan cara hidup sebegitu. Kita terlupa mengapa sungai terbentuk dan bagaimana komuniti awalnya bermula. Malah kita juga melupakan namanya dan tidak endah keadaannya sekarang.

Kita sudah berpindah menjauhi sungai, tetapi bukanlah semua yang hilang itu betul-betul satu kehilangan. Walaupun komuniti asal tebing sungai sudah berlalu pergi, komuniti baru sedang berusaha menghampirinya.

Tebing menghijau dicemari sampah sarap di sepanjang aliran sungai yang mengalir melalui Perpustakaan Negara dan BERNAMA.

“Sumber pencemaran utama Sungai Bunus ialah sisa organik; sisa makanan dari restoran, sisa kimia dari bengkel kenderaan dan pencemaran plastik. Ia sangat teruk,” jelas Yasmin bt Rasyid, pengerusi jawatankuasa kerja Sungai Bunus Fasa 2 (LA21), projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL).

Masalah sebenar terletak kepada kekurangan kemahuan untuk berusaha mengubahnya, terutama sekali dalam kalangan penduduk di tebing sungai itu sendiri. Jawatankuasa kerja yang diterajui Yasmin ditugaskan untuk memulakan dan mengetuai projek-projek berasaskan komuniti, dengan matlamat utama untuk membina Taman Rekreasi Sungai Bunus. Visinya ialah untuk mengubah ruang awam yang tidak digunakan kepada ruang awam pelbagai-gunaan yang boleh dimanfaatkan semua.

Melepasi Kolam Takungan Air Kg. Boyan dan taman rekreasi Sungai Bunus, sungai itu mengalir di bawah tanah melepasi Jalan Tun Razak dan memasuki kawasan bandar.

“Untuk bergerak ke depan dan membina bandar mapan, industri swasta, komuniti dan kerajaan tempatan perlu bekerjasama, sekiranya hanya ada desakan daripada industri swasta dan komuniti supaya perubahan berlaku, tetapi pada peringkat atasan, dasar dan pelaksanaan tidak dilakukan sewajarnya, kita hanya menemui jalan buntu dan semua usaha hanyalah sia-sia,” katanya.

Ketika jawatankuasa itu ditubuhkan pada tahun 2014, ia disertai 14 organisasi dan syarikat swasta, dan baru-baru ini 10 pihak lagi yang terdiri daripada pemaju, kelab masyarakat setempat dan kerjasama perniagaan menyertainya. Pada tahun 2017, mereka menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dan berikrar memberikan sokongan bagi memastikan visi sebatang sungai yang bersih dan sihat menjadi kenyataan. Di penghujung acara itu, semua yang hadir terlibat dalam upacara penanaman 100 batang pokok di kawasan taman itu.

Pengarah Eksekutif Pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Hj Mohd Najib Hj Mohd (berkemeja biru) menanam pokok untuk meraikan acara menandatangai MoU kedua bersama-sama mereka yang turut hadir pada acara itu.
Gambar ehsan DBKL.]

Jawatankuasa kerja LA21 juga terlibat dengan Kolam Takungan Banjir Kampung Boyan yang akan dibuka tidak lama lagi, lanjutan dari kawasan rekreasi Tasik Titiwangsa. Sebaik sahaja disiapkan, kawasan itu akan mempunyai kawasan perkebunan dalam-bandar serta laluan berbasikal untuk dinikmati orang awam.

Usaha penanaman pokok itu ialah contoh terbaik bagaimana langkah kecil yang diambil hari ini bakal memberikan kesan nyata berlipat kali ganda hebatnya di masa depan. Yang diperlukan hanya keberanian untuk bermimpi dan kemahuan untuk menjayakannya.

Kampung baru lama

Peta (kiri) menunjukkan Sungai Bunus yang merentasi Kampung Baru. Pemandangan satelit yang terkini menujukkan kawasan sama dan bagaimana sungai telah ditutup untuk dijadikan laluan pejalan kaki.
Sumber: Google Maps

Menunduk di bawah Jalan Tun Razak, Bunus memasuki laluan dalam dan gelap menuju pusat bandar, dan hanya muncul semula di pinggir Kampung Baru. Di satu bahagian jambatan yang terletak di Jalan Raja Muda Aziz, sungai itu dilindungi dengan pokok kelapa dan palma di luar bangunan Persatuan Kanser Malaysia dan di seberangnya, laluan pejalan kaki yang baru dibina bersimpang-siur, replika konkrit sungai itu sebagai jalan masuk ke dalam penempatan bersejarah tersebut.

Rumah kayu di sini menawarkan bayangan susasana di zaman dahulu, kediaman kecil yang dibina di tebing sungai, dan ayam dibiarkan bebas serta kanak-kanak bermain di luar rumah terus menuju ke sungai. Kini, sungai itu telah lenyap tetapi masih ada beberapa penduduk yang membela ayam di halaman mereka, ruang di bawah rumah mereka dijadikan reban ayam. Pokok buah-buahan tertanam berbaris-baris di luar rumah-rumah itu.

Laluan pejalan kaki yang baru dibina menawarkan peluang kepada pejalan kaki dan pengguna menaiki basikal menjelajah seluruh kawasan Kampung Baru tanpa perlu menempuh kesesakan lalu lintas.

Sungai itu hak milik semua orang, dan mereka berkongsi hidup dengannya, di masa sukar mahupun masa senang.

Tuan Haji Naharuddin Ali, seorang ahli Persatuan Sejarah Malaysia, masih mengingati masa silam: “Sungai itu akan melimpah apabila hujan lebat. Ia dikenali kerana itu. Yang terburuk pada 1926. Kampung Hanyut yang letaknya di kawasan itu terkesan teruk.”

“Sebelum sungai itu ditutup, airnya sangat jernih, indah dan penuh dengan ikan. Penduduk selalunya menangkap ikan dan menjualnya untuk mendapat sedikit duit.”

Kehidupan terlalu berbeza untuk penduduk kawasan itu sekarang. Mereka menetap di atas tanah bernilai tinggi, yang menunggu cadangan pembangunan dengan visi yang betul. Kekalkannya atas nama warisan, tetapi kemudahan asas perlu dibangunkan. Dibina pada zaman kepadatan dan keramaian penduduk bukanlah satu kebimbangan, kampung itu kini memerlukan sistem pengurusan sisa yang lebih menyeluruh, terutama sekali di kawasan perumahan yang dibina sangat rapat antara satu sama lain.

Pemandangan ikonik di Kampung Baru; rumah kayu lama menawan dibayangi hutan batu pencakar langit.

Menuju ke penghujung laluan pejalan kaki berkonkrit baru itu, sebuah lori pengutip sampah perlahan-lahan dipandu berundur menuju timbunan sampah beg plastik di sebelah jalan.

Empat pekerja sedang mengaut sampah yang tumpah di jalan dengan tangan mereka sahaja dan melemparnya ke belakang lori. “Inilah yang berlaku setiap hari”. Salah seorang mereka berkata dengan senyum yang dipaksa. “Ini cara paling mudah untuk mereka. Datang dan buang semuanya di atas jalan.”

Ketika itu, seorang lelaki berjalan keluar dari rumahnya dan tanpa rasa bersalah turut menyumbang kepada timbunan sampah di situ.

Dalam kawasan kepadatan penduduk tinggi, sebuah tong sampah ialah idea yang bergerak antara hanya sebuah tong sehinggalah semua kawasan di sekelilingnya. Hanya seorang diperlukan untuk memulakan tabiat buruk dan orang lain akan mengikutnya.

Sebatang sungai yang merentasinya

Melepasi Kampung Baru, bertambah sukar untuk mengesan sungai itu dengan tepat, kadang-kala langsung ia terus menghilang. Ia mengalir di bawah Quill City Mall yang baru dibina, stesyen Monorail Medan Tuanku, melalui The Row (dahulunya dikenali sebagai Asian Heritage Row), melepasi Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdullah dan akhirnya ke jalan yang terpahat namanya, Jalan Bunus.

Di sepanjang laluan itu ialah ruang seni, kafe kopi hipster, menara pejabat korporat, dan lopak kecil air hujan, sisa yang tumpah dari langit yang berlaku sekejap sahaja sebentar tadi. Tetapi air itu perlu mengalir ke satu tempat, walaupun sungai itu sudah lama dilupakan di kawasan ini. Cuba letakkan telinga anda ke jalan, dan anda mungkin dapat mendengar ia mengalir, antara deruan lalu lintas dan jeritan promosi yang membingitkan telinga dari kedai berhampiran.

Memandangkan jumlah kereta keluar masuk ibu kota meningkat setiap bulan, tekanan wujud untuk meluaskan dan melebarkan jalan raya yang ada. Tidak hairanlah Sungai Bunus kini sepenuhnya berada di bawah tanah berhampiran stesyen Monorail Medan Tuanku.

Di belakang hentian bas yang memanjang di Sungai Bunus, sungai mengalir melalui parit tertutup, masuk ke dalam Sungai Klang. Penutup besi di parit masih tertutup, bermaksud tahap air di hulu masih lagi stabil. Tetapi di sekelilingnya, terdapat cebisan sampah terperangkap, petanda arus deras melaluinya yang membawa bersama serpihan kehidupan ibu kota.

Ini ialah pintu keluar arusnya yang pertama, yang kedua ialah lencongan yang lebih baru, mengalir di bawah Jalan Hassan Salleh, berhampiran dengan Stesyen LRT Kg Baru. Ia hanyalah penutup besi di dinding konkrit selari dengan Sungai Klang, hanya boleh dilihat dari seberang sungai, antara batu nisan sepi terpacak di perkuburan orang Islam Ampang.

Di seberang Jalan Bunus ialah Persiaran CapSquare, kawasan komersial yang sedang meningkat naik disebabkan perubahan yang dilakukan oleh projek Sungai Nadi Kehidupan Fasa Dua. Kawasan ini berada di bawah Pakej Pembangunan 1C 1D dan 3A 3B. Pembangunan 1C 1D meliputi kawasan sekitar Masjid India dan Dataran Merdeka, sementara Pembangunan 3A3B akan mengubah ruang awam sekitar CapSquare dan persimpangan Jalan Sultan Ismail. Pembangunan besar-besaran ini melibatkan beberapa kawasan lain sekitar KL dan dijadualkan akan disempurnakan menjelang tahun 2020. Kita boleh membaiki banyak perkara dalam tempoh tiga tahun; kawasan boleh dibangunkan kembali, laluan pejalan kaki boleh ditambah baik, dan sungai boleh dibersihkan sehingga mencapai tahap mapan.

Pintu keluar aliran Sungai Bunus yang ‘asal’ di mana ia bertemu Sungai Klang. Satu-satunya kesan yang ditinggalkan Bunus hanyalah nama yang terpahat di bangunan dan tanda jalan.

Tetapi mengubah cara kita berfikir tentang sungai ialah cabaran paling hebat. Dalam kes Bunus, bagaimana kita boleh membaiki sesuatu yang kita tidak boleh lihat? Bagaimana kita mahu mengubah cara hidup 1.79 juta orang di Kuala Lumpur?

Dari jambatan yang merentasi Sungai Klang, keadaan semasa sungai ibu kota kita jelas kelihatan; ranting kayu, botol plastik, kertas, sampah sarap, barangan terbuang, tiub vakum dan bekas juadah tengahari yang terbungkus dalam plastik terapung di permukaan sungai. Ini bukanlah ganjaran alam semulajadi, ia adalah kesan daripada tindakan kita yang tidak ambil kisah.

Mural yang menghiasi dinding simen di sepanjang Sungai Bunus ketika ia mengalir tanpa dilihat merentasi Kampung Baru.

Situasi hanya akan berubah sekiranya kita berusaha mengambil alih kembali pemilikan ibu kota dan apa yang berlaku kepadanya. Akan ada hari-harinya kita boleh berbangga dengan sungai kita, seperti mana kita berdiri bangga dengan pencakar langit berkilauan Menara Berkembar Petronas. Tetapi buat masa sekarang, kerja-kerja di peringkat akar umbi perlu diteruskan.

Awal gelap bergulung di langit dan guruh pun berderum perlahan. Jumlah kenderaan dan pejalan kaki di Jalan Bunus mula meningkat, petanda berakhirnya satu lagi hari bekerja. Seorang wanita pertengahan usia yang berniaga mee di kawasan berhampiran memandang langit yang makin gelap sebelum mengeluarkan sepasang but getah. Hujan lebat akan turun tidak lama lagi, membersihkan ibu kota.

Di kejauhan, sebuah paip hitam yang dihubungkan dengan tapak pembinaan berhampiran terjatuh ke sungai dan bergoncang liar, seperti sebuah pengayuh sampan yang mengodek dari jauh.

Air sungai ini semakin menaik.