Nadi Ampang yang Dilupakan.

Melayari tebing Sungai Ampang dan mengintai kehidupan yang ditampungnya

Sungai di bawah lebuh raya lebih berupa sistem kumbahan berbanding sungai yang sepatutnya menyegarkan

Lewat pagi itu saya tiba di Kuala Ampang, titik pertemuan Sungai Ampang dan Sungai Klang, sungai terhebat Kuala Lumpur. Sungai Ampang memulakan kembaranya sebagai alur kecil, jernih bak kristal yang bermula dari Hutan Simpan Ampang yang masih belum dicemari. Tetapi di sini, titik pertemuan dua sungai tidak lagi seperti itu.

Hiliran

Terdapat bukti jelas sisa domestik dan indusrti, sampah sarap, serta sisa dari jalan raya yang terkumpul dalam sungai membentuk rojak pencemaran sedang ia mengalir ke hilir. Tebing sungai yang dahulunya berumput hijau kini terbungkus dalam konkrit sepertimana Sungai Klang, kedua-dua belah tebingnya ialah tebing tajam konkrit menuju ke aliran sungai keruh coklat kehijauan di bawahnya. Kawasan ini dipagari oleh Jabatan Pengairan Selangor, dengan papan tanda yang memberi amaran keras bagi menghalang semua cubaan penceroboh, termasuklah saya.

Jauh sedikit ke hadapan berhampiran kawasan kediaman, barisan pendek blok kediaman menuju ke sebuah taman dalam bandar yang sudah dilupakan, laluan pejalan kakinya sudah pun rosak. Pokok palma yang matlamatnya untuk menghias disusun berbaris, muncul berbatang-batang di antara rumput dan lalang yang meninggi serta bangku yang mereput. Tebing sungai ini berbatu dan dipenuhi sampah sarap, tetapi saya dapat lihat dua orang lelaki sedang berhati-hati mengharungi arus keruh, tangan mereka memegang tangkapan hari itu penuh kebanggaan.

Kemudahan perangkap sampah dengan perangkap sampah terapung di Sungai Ampang.

“Mereka itu kuli,” kata seorang pakcik tua Cina dalam bahasa Melayu rojak, merujuk kepada buruh asing yang membina pencakar langit berkilauan dan projek mega Malaysia. Dia sedang duduk di atas motorsikal kapcainya, memakai singlet, seluar pendek, selipar jepun, tetapi tidak memakai topi kaledar. “Tiada sesiapa lagi yang turun ke sungai, termasuklah kita. Hanya orang Indonesia dan Bangladesh.” Dua lelaki itu yang sebelum ini memancing dalam sungai, mendaki tebing konkrit dan berjalan menjauhi kami dengan tangkapan mereka, kemungkinan besar itulah rezeki makanan mereka hari itu.

Kuala Ampang

Pakcik Cina bermotor kapcai itu ialah tipikal penduduk Kuala Ampang, sebuah perkampungan baru yang diwujudkan ketika darurat (1948-1960) pada awal 50-an untuk menjauhkan komuniti Hakka tempatan daripada gerila komunis. Ia hanyalah salah satu daripada 49 kampung baru yang diwujudkan di Selangor, dan 480 kampung lagi di seluruh Malaya pada 1954. Menjelang akhir darurat, lebih daripada sejuta orang ditempatkan semula di 600 kampung baru, kebanyakkan penduduk berketurunan Cina. Menurut penduduk yang sudah berusia, kawasan itu asalnya ialah ladang tebu sekitar tahun 1800-an. Ini sebelum timah ditemui, dan pelombong yang ghairah mengerumuni kawasan itu untuk menggali tanah meraih kekayaannya.

Pemandangan dari Sungai Ampang menuju titik pertemuan. Bangunan pencakar langit yang baru dibina mengubah pemandangan Kampung Berembang dan kawasan sekitarnya

Dengan bilangan penduduk menghampiri 6000 orang, Kampung Baru Ampang hari ini ialah pusat perkembangan aktiviti ekonomi, dengan restoran yong tao foo Ampang yang terkenal, bengkel kenderaan, dan perniagaan-perniagaan kecil lain. Tok Penghulu Hulu Kelang, Zaimi Ghazali menyerahkan kepada saya laporan kampung itu berdasarkan temu bual dengan penduduknya, termasuk mereka yang sudah menetap di situ berdekad lamanya. Dia memberitahu saya yang sekurang-kurangnya suku daripada jumlah penduduk di situ telah berpindah keluar tahun demi tahun, ketika kawasan sekitarnya terus dibangunkan.

Kuala Ampang hari ini tidak banyak mencerminkan zaman silamnya. Kampung di situ masih mempunyai kesan sejarah gelap silam sebagai kawasan penempatan semula penduduk Cina. Tanglung Cina dari pelbagai zaman masih boleh dilihat tergantung di sesetengah rumah, warna merahnya sudah pudar dan hanya menjadi warna merah jambu salmon yang berdebu.

Kampung Berembang

Bandar Kuala Ampang saya tinggalkan, dan kelihatan dua orang budak lelaki sedang berbual dengan seorang pakcik Melayu tua di sebuah warung di seberang sungai. Saya melambai bertanya khabar, dan menerima jemputan tanpa suara untuk menyeberangi ke bekas kawasan Kampung Berembang, perkampungan Melayu yang dipisahkan dari Kuala Ampang dengan sungai. Pembangunan masih berlangsung, dan bergenerasi penduduk sudah dipindahkan bagi membuka jalan untuk pembangunan beberapa tahun lepas, menerusi dasar sifar setinggan yang dilaksanakan pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Bangunan pencakar langit separuh siap berdiri di atas tapak bekas Kampung Berembang

Kampung itu dinamakan sempena nama pokok Berembang, pokok yang hidup dalam air dan tumbuh di sekitar tebing sungai yang berlumpur. Kawasan pokok ini tumbuh menjadi tumpuan pembiakan kunang-kunang, yang hinggap di daunnya dengan cahaya kerlipannya. Kini, Kampung Berembang merupakan kediaman komuniti dengan jaringan rumah pangsa, satu kaedah halus untuk menangani penduduk yang dianggap penduduk setinggan walaupun mereka sudah menetap di situ bergenerasi lamanya.

Tidak banyak yang perlu dilakukan untuk membayangkan rupa silam Kampung Berembang dan Kuala Ampang, kawasan yang dahulunya dipenuhi banyak hidupan liar dan kehijauan sejauh mata memandang yang bergemerlapan di malam hari.

Jalan Ampang

Kampung itu dinamakan sempena nama pokok Berembang, pokok yang hidup dalam air dan tumbuh di sekitar tebing sungai yang berlumpur. Kawasan pokok ini tumbuh menjadi tumpuan pembiakan kunang-kunang, yang hinggap di daunnya dengan cahaya kerlipannya. Kini, Kampung Berembang merupakan kediaman komuniti dengan jaringan rumah pangsa, satu kaedah halus untuk menangani penduduk yang dianggap penduduk setinggan walaupun mereka sudah menetap di situ bergenerasi lamanya.

Tidak banyak yang perlu dilakukan untuk membayangkan rupa silam Kampung Berembang dan Kuala Ampang, kawasan yang dahulunya dipenuhi banyak hidupan liar dan kehijauan sejauh mata memandang yang bergemerlapan di malam hari.

Ladang bijih timah terbuka zaman dahulu ialah perusahaan yang cermat serta teliti, dan sebaik sahaja bijih timah habis dilombong kawasan terbuka itu akan perlahan-lahan dipenuhi dengan air hujan dan bertukar menjadi tasik.
Foto ihsan Peter Moss

Sebelum zaman kegemilangan perlombongan bijih timah, populasi kaum Cina di Ampang hanya berjumlah sekitar 250 orang. Kawasan itu asalnya dipenuhi dengan pelombong migran dari Sumatera, yang menetap di sepanjang kawasan tanah tinggi Sungai Klang pada suku pertama kurun ke-19. Dua kumpulan orang Melayu teramai di situ ialah Rawa-Mandiling dan Minangkabau, walaupun hanya orang Rawa-Mandiling yang terlibat dalam perlombongan timah.

Pada tahun 1857, Ampang menyaksikan ketibaan pelombong Cina dari Lukut, Port Dickson, dibawa oleh Raja Abdullah Raja Jaafar, seorang Melayu Bugis yang dilantik sebagai pentadbir Klang oleh Sultan Selangor. Nama Ampang berasal daripada perkataan “empangan”, merujuk kepada empangan yang dibina pelombong di kawasan yang dahulunya hutan tebal. Menjelang tahun 1880, populasi orang Cina di Ampang meningkat tiga kali ganda sehingga berjumlah 830, mengatasi jumlah orang Melayu seramai 600 orang. Dalam masa lima tahun sahaja, populasi orang Cina meningkat sehingga 1,100.

Menjelang tahun 1891, populasi Ampang meningkat mendadak sehingga lebih daripada 5,000 orang, yang mana 90% daripadanya ialah orang Cina. Kebanyakkan orang Cina di Ampang berasal dari daerah pesisir pantai di Selatan China; Kwantung dan Fukien. Orang Cina di Ampang terdiri daripada suku kaum ‘Khehs” yang paling ramai, diikuti oleh Hokkien dan Kantonis. Suku kaum Khehs di situ pula terpecah kepada dua suku kaum kecil dikenali sebagai ‘Fui Chew’ dan ‘Ta-pu’ Hakka. Suku kaum Ta-pu ialah mereka yang datang kemudiannya, mungkin sekitar lewat kurun ke-19 dan awal kurun ke-20. Kebanyakkan mereka terlibat dalam perniagaan; tabib, tukang besi, tukang pajak gadai, tukang jahit dan lain-lain.

Sudah hampir setengah kurun sejak zaman kegemilangan perlombongan bijih timah di Ampang berakhir, selepas lombong bijih terakhir habis dilombong pada awal 1980-an. Lombong-lombong yang berselirat dibentuk oleh pam air telah digantikan dengan kawasan kediaman, dan Jalan Ampang terjerut dalam beban kesesakan lalu lintas moden yang menjadi rutin hariannya.

Kampung di bandar

Di sepanjang jalan utamanya ialah Pekan Ampang, kawasan letaknya sebaris empat puluh rumah kedai yang usianya sudah menjejak dekad, tinggalan sejarah kolonial Selangor. Hartanah ini diwarisi keluarga bergenerasi lamanya, ramai yang masih tinggal dan bekerja di situ.

Saya meletakkan kereta saya di hadapan kedai ubat Cina ketika waktu makan tengah hari hampir tiba. Kerusi plastik yang berfungsi sebagai kawasan perundingan utama, dengan diagram gambar tubuh manusia dilekatkan di dinding, serta altar besar jauh di hujung dinding. Tidak jauh dari situ ialah kedai lama dipenuhi hampir sedozen mesin jahit antik yang disusun berselang-seli dua baris.

Seorang wanita sedang membaiki jam di dalam kedai jam di Pekan Lama Ampang

Bukti warisan bandar Cina wujud di kawasan perdagangan utama, termasuklah kedai arak, kedai menjual ubat-ubatan dan herba, loteri 4D, dan rangkaian warung. Keadaanya, tidak seperti barisan kedai yang anda akan jumpai di mana-mana kompleks beli-belah yang berselirat di pusat bandar. Tidak banyak warung Melayu di sepanjang jalan itu. Di salah satu warung Melayu yang wujud di situ, seorang pakcik Cina menghentikan motorsikalnya untuk menghantar sekotak oren, beramah mesra dengan makcik yang menjaga kaunter bayaran. Di seberang jalan berdekatan pasar, penjual buah berbangsa Cina memanggil beberapa pejalan kaki berbangsa India yang sedang melintas; pastinya mereka sudah mengenali satu sama lain bertahun lamanya. Pemandangan ini hanyalah interaksi hari-hari biasa di Pekan Ampang.

Terdapat beberapa buah yang berwarna-warni yang dijual sempena Tahun Baru, tetapi saya dimaklumkan semua itu hanyalah sekadar perhiasan. “Cantikkan?” gelak Madam Wong, yang mengendalikan gerai di hujung pasar kecil itu. Saya bertanyakan berapa lama dia sudah berniaga buah-buahan di situ, dan sekali lagi dia tertawa kecil. “Lama dah! Saya berasal dari Pekan Ampang, lahir dan membesar di sini. Datuk saya berhijrah ke Malaya dari China, dan saya generasi ketiga di sini. Ayah saya pun dah berumur 80 tahun.” Madam Wong sempat berseloroh menyebut soal “balik tanah besar” yang sering timbul apabila ketegangan politik membahang, dan saya melihat kelukaan di wajahnya. Ini tanah airnya, tidak kira dari mana asal mereka.

Dua lelaki menjala di sungai Kampung Melayu Ampang. Sampah dan sisa pembinaan kelihatan menjerut alur sungai. Jauh di belakang ialah Hutan Simpan Ampang.

Berlainan pula dengan kawasan kejiranan Kampung Melayu Ampang yang bercelapak di Sungai Ampang yang telah menyambut ulang tahunnya yang ke 50 pada 2014. Kawasan itu asalnya digazetkan sebagai salah satu penempatan terawal pendatang Melayu pada 1964, tetapi rumah-rumah di situ sudah dibina berdekad sebelum itu lagi, sebahagiannya dibina di atas sungai itu sendiri. Kawasan itu kini ialah gabungan aneh baru dan lama, di mana rumah kampung pelbagai saiz dan warna sering kali berkongsi pagar dengan banglo mewah moden.

Kedua-dua Pekan Ampang dan Kampung Melayu Ampang ialah kediaman awal yang wujud di Malaya, dibina di sepanjang sungai tanpa perancangan bandar yang teratur. Ini adalah satu lagi contoh bagaimana komuniti Melayu dan Cina dahulunya tinggal berhampiran sewaktu zaman sebelum merdeka di Kuala Lumpur, dengan lombong dipelopori orang Cina yang terletak berhampiran dan orang Melayu yang bercucuk tanam. Demografik kaum lebih bercampur baur pada zaman dahulu, tetapi komuniti tempatan sangat menyenangi satu sama lain.

Dermaga

Pembangunan menjarah pinggir Hutan Simpan Ampang

Jauh sedikit ke hulu di sepanjang Jalan Bukit Belacan, lebih banyak rumah kedai yang dibina di sepanjang sungai untuk membentuk Dermaga Ampang. Pembangunan yang bercampur ini bertujuan untuk mengubah kawasan yang dahulunya dipenuhi dengan rumah kedai kayu haram, warung dan setinggan kepada kawasan rekreasi.

Wujud laluan yang diturap di sepanjang sungai, tetapi kawasan itu telah terbiar kerana kekurangan penyelenggaraan; pagar besi berkarat, patah atau hilang sepenuhnya. Jambatan menghubungkan dermaga yang dilupakan ini menghubungkan baris kedai dengan kawasan kediaman di seberangnya.

Dalam banyak kenderaan yang diparkir di sepanjang sungai itu, ada sebuah van penghantaran yang turut diparkir dan kelihatan seorang lelaki sedang khusyuk melihat air sungai. Saya secara bersahaja memberikan komen tentang sampah di kawasan itu, tetapi dia membalasnya dengan nada yang lebih positif: “Masih ada ikan di sini, dan kami memang pernah tangkap,” katanya. “Ikan tilapia memang sangat besar!” Sebahagian daripada sungai ini lebih berhampiran dengan sumbernya di Hutan Simpan Ampang, dan ramai penduduk tempatan dilihat memancing di situ sewaktu hujung minggu.

Seorang lelaki muda dengan hasil tangkapannya. Sungai yang tercemar itu merbahaya kepada manusia dan haiwan. Dibimbangi ikan yang ditangkap dari sungai itu dan sekiranya dimakan boleh menyebabkan risiko tinggi kepada kesihatan.

Bersiar-siar di kawasan sekitar, saya bertembung pula dengan seorang pakcik keturunan Cina, yang tekun memandang kejauhan. Dia memiliki salah satu bengkel kereta yang beroperasi dalam barisan kedai di sepanjang sungai itu. Wujud juga kedai perabot, makanan dan lain-lain. “Ikan tilapia di sini sangat sedap,” akuinya dalam bahasa Melayu rojak. “Boleh je memancing di sini, kerana kita dah dekat dengan sumber air.” Air di situ lebih jernih, dan ikan-ikan yang berenang di dalamnya boleh dilihat dengan mata kasar.

Ikan tilapia juga boleh dilihat berenang mengelilingi sampah yang berada di dasar sungai. “Orang buang segala sampah ke dalam sungai,” katanya, sambil menggeleng kepala.

Gris dan sisa makanan yang tidak dirawat dan tidak tertapis masuk ke dalam sungai melalui tempat basuhan, sinki dan dapur perniagaan setempat yang banyak beroperasi di situ. Berdekatan Dermaga, Ampang

Saya bertemu harapan dalam tanda kitaran kehidupan baru ikan tilapia, tetapi harapan itu dikecaikan oleh profesor Universiti Teknologi Malaysia, Maketab Mohamed. Berpengalaman dalam kualiti air dan pemodelan kualiti air, dia mempunyai pemerhatian yang sangat jauh berbeza. “Tilapia boleh hidup dalam air Kelas IV,” katanya, mengakui bahawa ikan itu bukanlah petanda kebersihan air. “Sekiranya dimasak ia selamat untuk dimakan, tetapi isinya mungkin tidak berapa sedap.”

Projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) bermatlamat untuk meningkatkan kualiti air daripada Kelas III sekarang kepada Kelas IIB, menjadikan air sungai selamat untuk sentuhan kulit, membolehkan aktiviti seperti berkayak dan berenang. Maketab masih belum mempercayai sepenuhnya yang matlamat ini boleh dicapai. “Sungai Ampang ialah sungai dalam bandar, kerana itu ia tercemar teruk,” katanya. “RoL masih belum mencapai matlamatnya mungkin kerana sumber pencemaran masih belum diatasi. Hanya di sumbernya sahaja air sungai masih bersih.”

Longkang besar kawasan perniagaan mencurah masuk ke dalam sungai.

Beliau tidak menjelaskan dengan terperinci, tetapi mesejnya jelas. Projek Sungai Nadi Kehidupan bermatlamat untuk mengubah Sungai Klang dan Gombak menjadi kawasan sungai yang segar dan meriah, tetapi ini tidak boleh dilakukan sekiranya 10 anak sungai di sekitarnya termasuklah Sungai Ampang tidak dibersihkan terlebih dahulu. Hanya ada beberapa tahun sahaja lagi sebelum tempoh tamat pada tahun 2020 untuk projek itu mengembalikan semula kegemilangan titik tumpuan Kuala Lumpur ini, dan semua pihak terlibat sudah mempunyai perancangan masing-masing bagi mencapai matlamat ini.

Bukit Belacan

Salah satu permata tersembunyi yang masih wujud di ibu kota ialah Hutan Simpan Ampang terletak di penghujung Jalan Ampang, dalam Taman Negeri Selangor. Kawasan ini biasanya sunyi sepi pada hari bekerja, tetapi dianggarkan 400 sehingga 500 orang mengunjungi Bukit Belacan setiap hari pada hujung minggu. Saya tertanya-tanya berapa ramai yang masih berani meneroka hutan itu sekiranya mereka tahu ia digunakan Komunis untuk memenggal orang yang bersimpati dengan Jepun sebelum Merdeka. Malah, ada laporan yang Ampang sendiri pernah ditawan Bintang Tiga, semasa tempoh peralihan dua minggu selepas Jepun menyerah kalah dan berundur dari Malaya pada tahun 1945.

Kawasan hijau yang masih kekal wujud hanya meninggalkan sedikit bukti masa silamnya yang gelap. Hari ini, sumber sungai di Bukit Belacan terjerat dalam sindrom sungai bandar, fenomena yang mewujudkan kelukaan bersama untuk aliran sungai yang bernasib malang berhubungan dengan manusia dan menerima kesan pembangunan.

Tidak jauh dari hutan itu, sumber pencemaran lain termasuklah pembuangan sampah, sisa domestik dan industri, air hujan tercemar yang melimpah dari kawasan bandar, racun serangga dari padang golf berhampiran, malah kotoran daripada paip sisa kumbahan yang bocor. “Saya sudah tinggal di Ampang selama 20 tahun dan saya nampak keadaannya bertambah buruk,” kata Profesor Catherine Yule. Belia merupakan Ketua Pembangunan Akademik di Monash Universiti Malaysia, dengan kajian utama ialah kesihatan sungai di seluruh negara.

Titik mula Sungai Ampang di Hutan Simpan Ampang

Bagaimanapun, beliau pantas menegaskan bahawa kisah itu tidak berakhir setakat itu. “Hulu sungai sangat bersih, cantik, dan indah! Flora dan fauna yang pelbagai. Banyak hidupan liar hidup di situ,” katanya dengan penuh semangat. “Masih belum terlambat.” Ada kisah kejayaan alam sekitar yang boleh dipelajari Malaysia, termasuklah kisah pembersihan air di Sungai Thames di England, Lake Constance di sempadan Jerman-Austria-Switzerland, dan Sungai Yarra di Australia.

Sebaik sahaja meninggalkan hutan simpan itu, seekor tuntung melintas di depan saya sebelum bergerak kembali ke sungai. Di kejauhan, sepasang burung botak padi terbang meninggalkan bulu putih berterbangan, menyertai beberapa kumpulan yang sudah terbang tinggi di langit. Mungkin masih ada kehidupan di Sungai Ampang, walaupun cabaran berliku wujud di laluannya.