Mencari kejelasan di kota raya

Kehidupan melangkaui Zon Warisan Kuala Lumpur dan prospek masa depan untuk projek Sungai Nadi Kehidupan

Arus perubahan untuk memberi nafas baru kepada sungai-sungai telah menular ke Asia. Pelbagai negara di seluruh dunia kini berusaha dengan penuh semangat untuk menjayakan projek-projek pemulihan dan pengindahan sungai setelah melihat hasil yang menggalakkan di negara-negara jiran.

Sungai Cheonggyecheon di Korea Selatan telah berubah daripada sebuah parit konkrit yang terdedah kepada sebuah pusat tarikan pelancong yang terkenal. Setelah menjayakan projek Sungai Singapura, saudara kami di seberang selat mula menumpu perhatian kepada Sungai Kallang. Negara India pula, setelah menggiatkan usaha dalamm pelbagai projek alam sekitar, menambah satu lagi kejayaan dengan melibatkan rakyat jelata dalam projek penanaman 66 juta pokok dalam hanya 12 jam di lembangan sungai Narmada.

Sungai Nadi Kehidupan, projek pemulihan dan pengindahan sungai-sungai, merupakan salah satu inisiatif alam sekitar yang paling besar di negara ini. Objektif projek ini adalah untuk membersihkan lapan batang sungai utama di Kuala Lumpur, walaupun kerja-kerja yang lebih intensif tertumpu kepada Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Kuala Lumpur sebuah bandaraya besar yang mempunyai kisah dan sejarah yang rumit. Greater Kuala Lumpur, kawasan yang merangkumi Wilayah Persekutuan dan sepuluh perbandaran Lembah Klang, didiami oleh satu perlima penduduk Malaysia. Nisbah ini dijangka naik ke satu pertiga menjelang tahun 2020.

Bagi memastikan kerja-kerja pemulihan sungai mendatangkan hasil yang berkesan, perhatian perlu diberikan kepada para penduduk dan tradisi mereka yang berlainan bergantung kepada lokasi. Inisiatif Sungai Nadi Kehidupan mencapai matlamat ini dengan membahagikan Kuala Lumpur kepada zon-zon yang berbeza, dan menyesuaikan langkah-langkah yang diambil untuk memaksimumkan potensi setiap zon.

Salah satu dari zon pengaktifan Sungai Nadi Kehidupan menjangkaui Sungai Gombak dari titik pertemuannya dengan Sungai Klang hingga Sentul Selatan. Kawasan ini dikenali dalam rancangan induk Sungai Nadi Kehidupan sebagai Zon 3, yang juga merangkumi 1.5km daripada keseluruhan Sungai Klang.

Zon 3 mempunyai unsur-unsur lama tetapi juga mempunyai tarikan kesibukan yang tersendiri. Aspek kebudayaan dan perdagangan menyumbang kepada perkembangan kawasan ini dan, gabungan kedua aspek ini memperlihatkan keharmonian dan warisan warga kota.

Kehadiran bangunan pencakar langit dan kompleks beli-belah membuatkan warga kota senang terlupa masih ada kampung-kampung kecil yang tersorok di Kuala Lumpur. Sebuah rumah kayu yang terletak di Jalan Raja Abdullah di tebing Sungai Gombak terpampang dalam gambar ini.

Jalan Raja Abdullah terletak berdekatan pusat bandaraya tetapi rumah-rumah lama masih boleh dilihat di tepi sungai. Salah satu dari rumah-rumah ini terletak di persimpangan yang besar dan kelihatan seperti didiami oleh pelajar-pelajar kolej.

Tuan rumah yang seperti ingin melindungi sejarah rumah tersebut hanya bercakap mengenai masalah banjir. Apa yang dia harapkan dari projek Sungai Nadi Kehidupan hanyalah supaya banjir berkurangan. Dia sudah jemu dengan betapa mudah rumahnya dilanda banjir, hujan selama dua atau tiga jam sudah cukup untuk membolehkan air sungai melepasi tebing.

Apabila menghampiri Jalan Sultan Ismail, kelihatan lebih banyak kedai di tepi sungai. Salah satu darinya adalah sebuah restoran kecil yang menghidangkan nasi goreng dan beberapa lagi masakan tempatan. Seorang anak muda bertopi besbol yang membahasakan dirinya ‘Ash’ menjaga restoran tersebut.

“Kalau ada apa-apa yang saya harapkan dari projek ini untuk Kuala Lumpur, saya hendak lebih banyak lampu dipasang, terutama sekali pada lewat malam,” Ash berkata. “Masih ada kawasan di pusat bandar ini yang terlalu gelap pada waktu malam, dan ini menimbulkan isu-isu keselamatan.”

Laluan yang lebih terang di KL akan mewujudkan persekitaraan yang lebih selamat dan selesa untuk keluarga bersiar-siar

Matlamat projek Sungai Nadi Kehidupan untuk Zon 3 ialah untuk memeriahkan lagi waktu malam di kawasan tersebut. Zon 3 sibuk pada siang hari tetapi aktiviti terus mereda setibanya waktu malam, dan peniaga-peniaga seperti Ash cuma mempunyai beberapa jam sahaja untuk berniaga dan meraih keuntungan sebelum tahap keselamatan menjadi kerisauan.

“Selepas hal keselamatan diuruskan, saya harap keutamaan akan diberi kepada penyelenggaraan bandaraya, terutama sekali keadaan jalan raya dan kaki lima.”

Walaupun Kuala Lumpur semakin canggih dan kemesraan dalam perlumbaan untuk memburu pemodenan kian hilang, identiti tempatan masih terserlah di kawasan ini. Berjalan di tepi sungai di sini seperti mengimbas kembali kisah-kisah lama.

Bermula dari zon warisan Kuala Lumpur – zon yang akan dibaik pulih secara khususnya di bawah projek Sungai Nadi Kehidupan - dan menuju ke arah utara sehingga Titiwangsa, Zon 3 akan menikmati pembangunan di tepi sungai, taman-taman awam dan pelbagai pembaharuan kepada landskap jalan.
.
Keberanian adalah menyuarakan apa yang difikirkan

Sambil memandu kereta Uber di Jalan Tun Perak, Norman banyak menyuarakan pendapat mengenai projek pemulihan sungai di Malaysia.

“Saya menyokong projek Sungai Nadi Kehidupan ini. Saya bersetuju dengan langkah-langkah macam ini, lebih-lebih lagi kerana rakyat memang memerlukan projek ini. Ada banyak cara untuk menambah baik bandaraya kita, dan ini adalah langkah yang pertama.”

Impian Norman adalah supaya Kuala Lumpur menjadi terkenal dan menarik seperti Amalfi Coast di Itali.

Perihal aktiviti menaiki bot di sungai yang sedang dibangunkan di Kuala Lumpur, Norman berpendapat bahawa pemandangan di sepanjang Sungai Klang berupaya menandingi pemandangan di sungai-sungai lain untuk menjadikan pelayaran suatu tarikan yang tersendiri jika fokus diberi kepada keindahan pelbagai kebudayaan di Malaysia.

Zon-zon yang dicadangkan adalah penyelarasan klasifikasi terkini yang diguna pakai oleh DBKL sebagai asas identiti masyarakat dan pewujudan tempat di sepanjang sungai. Setiap zon boleh mempunyai sebanyak empat presint, dan mengikuti sempadan presint.
Sumber: Rancangan induk Sungai Nadi Kehidupan.

Seperti warga kota yang lain, beliau mempunyai banyak soalan dan pelbagai cadangan untuk projek tersebut.

“Tahu apa yang saya tak faham? Kenapa tidak ada pili air minuman di sekitar Kuala Lumpur,” Norman berkata. “Memang leceh kalau nak bawa botol air ke merata tempat.”

Jika Kuala Lumpur mempunyai impian untuk menjadi bandaraya global, lebih banyak kemudahan asas perlu disediakan. Norman yang mengakui kurang arif tentang apa yang dijanjikan di bawah projek Sungai Nadi Kehidupan berharap bahawa projek ini akan memperkenalkan lebih banyak pili air minuman di tempat awam.

Dia juga mencadangkan untuk didirikan lebih banyak arca di kawasan awam untuk menggambarkan rakyat Malaysia.

“Ada kalanya seni terlalu abstrak sehingga orang ramai tidak memahaminya,” dia berkata. “Saya ingin melihat seni yang memaparkan keluarga Malaysia membuat sesuatu. Orang ramai patut mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai cara hidup rakyat Malaysia, dan dengan itu mungkin mereka akan terpanggil untuk meluangkan lebih masa di tempat awam.”

Menurut Norman, halangan yang paling besar untuk menjalankan aktiviti rekreasi di tepi sungai ialah cuaca. Dia berpendapat bahawa lebih banyak tempat-tempat berteduh akan menggalakkan orang ramai untuk keluar menikmati persekitaraan mereka, tetapi dia juga yakin projek Sungai Nadi Kehidupan akan mengambil langkah yang betul.

Dalam usaha meluaskan tempat awam untuk orang ramai, pihak berkuasa sedang berusaha untuk mengubah pengalaman yang dirasai oleh rakyat di bandaraya ini. Sebuah lata terbuka telah diubah menjadi taman kecil, sebuah oasis yang unik di pusat bandaraya.

“Saya mempunyai keyakinan dalam projek ini,” dia menegaskan. “Saya dapat tahu mengenainya dari seorang penumpang Mat Salleh yang terlibat dengan projek ini melalui satu syarikat perunding. Saya rasa inisiatif ini memang hebat, dan saya mengikuti perkembangannya secara dalam talian.”

Membuka laluan untuk pejalan kaki

Dengan siapnya banyak kerja-kerja pembersihan sungai – menurut penumpang-penumpang di stesen monorail Bandaraya, bau busuk dari Sungai Gombak sudah banyak berkurangan – projek Sungai Nadi Kehidupan terus mara kehadapan.

Inisatif pembersihan dan pengindahan sungai ini ingin melihat sungai-sungai Kuala Lumpur sebagai tarikan utama bandaraya tersebut, dan untuk mencapai impian tersebut, pelaksanaan langkah-langkah yang telah dikaji dengan sepenuhnya amatlah perlu. Setelah menyusulkan senarai idea-idea, dari zon keutamaan pejalan kaki ke unsur air dan kafe jalanan, kerja-kerja yang utama sudahpun bermula.

Meningkatkan kesalinghubungan adalah perkara yang paling penting untuk membolehkan orang ramai menikmati kemudahan awam. Sebagai contoh, pembangunan semula laluan dan lintasan pejalan kaki untuk memudahkan pergerakan untuk pejalan kaki.

Zura, yang sedang menunggu di hentian bas Jalan Munshi, jelas kurang berpuas hati dengan aspek ini. Jika pada awalnya dia agak keberatan untuk bercakap mengenai sungai-sungai yang berhampiran, kini dia mula rancak bersuara apabila topik perbualan beralih kepada aspek kesalinghubungan untuk pejalan kaki.

“Susah hendak berjalan di sini, laluan pejalan kaki memang selalu dalam keadaan yang teruk. Ini semua angkara pemandu-pemandu yang bawa kenderaan mereka naik ke kaki lima.”

Zura mengakui bahawa dia tidak pernah mempunyai hubungan dengan sungai-sungai di sini. Walaupun sudah lama di Kuala Lumpur, dia tidak pernah memancing ikan atau berenang dalam air sungai. Bagaimanapun, dia menanti-nantikan pembaharuan yang dijanjikan di bawah Sungai Nadi Kehidupan.

“Saya tidak biasa keluar banyak sebab risau tentang keselamatan dan kebersihan tempat awam di sini,” Zura menambah. “Orang yang menggunakan pengangkutan awam seperti saya memang amat berterima kasih jika pihak berkuasa boleh mengubah Kuala Lumpur menjadi lebih selesa untuk kami bersiar-siar.”

Duduk di sebuah meja plastik di belakang hentian bas ialah Zainal. Sebagai pekerja di sebuah syarikat bas awam, dia juga inginkan persekitaran yang memudahkan pejalan kaki.

Garis panduan dalam projek Sungai Nadi Kehidupan berdasarkan kajian dan analisis yang mendalam, termasuk kesalinghubungan untuk pejalan kaki, keupayaaan pembangunan komersil dan pengagihan sumber yang mampan.

“Saya tidak tahu sangat tentang Kuala Lumpur berbanding mereka kerana saya menaiki motorsikal,” dia berkata sambil menunjuk kepada sekumpulan orang yang sedang menunggu bas. “Patut ada laluan pejalan kaki yang elok sedikit, apatah lagi tempat berteduh supaya tidak terlalu panas untuk mereka keluar pada waktu siang.”

Zainal menunjuk ke arah sebuah papan tanda tinggi di penjuru jalanraya di lokasi hentian bas. Tertera di papan tanda bersebut – Pembangunan di Jalan Munshi termasuk dalam Zon 1 di bawah rancangan induk Sungai Nadi Kehidupan.

Masa hadapan bermula dengan sebuah visi

Tanda-tanda awal jayanya sebuah projek pemulihan sungai yang terletak di kawasan bandar adalah persekitaran yang lebih baik. Air sungai bertambah jernih, bau dari pencemaran sungai kian menghilang dan wujudnya organisma akuatik, membuatkan sungai lebih menarik untuk kegunaan rekreasi dan pejalan kaki.

Gambaran keseluruhan elemen SNK di sekitar Masjid India.

Semakin banyak aktiviti yang berlaku, semakin melonjak nilai ekonomi kawasan tadahan sungai. Manfaat pemulihan sungai tidak terhad kepada alam sekitar sahaja, menggalakkan ekonomi tempatan turut menerima tempias dan, kualiti hidup di kawasan tersebut juga meningkat.

“Setahu saya, projek ini sudah 60% siap jadi saya tidak akan komen sama ada ianya akan berjaya atau tidak,” ujar Syed Yusof di atas jambatan merentasi sungai menuju ke Selangor Mansion. “Yang saya tahu memang bagus kerana imej kami angkat meningkat.”

“Malaysia akan menjadi lebih menarik kepada pelancong asing, jadi pada saya ini memang pelaburan yang baik. Projek Sungai Nadi Kehidupan akan meletakkan kami di peta dunia.”

Ahli peniagaan yang pragmatik ini kelihatan berpengetahuan tentang projek Sungai Nadi Kehidupan, sesuatu yang tidak dijangka dari seseorang yang berdiri di sebelah penjaja stokin di atas jambatan yang menghadap Sungai Klang.

Masjid India yang penuh bersejarah, dilihat dari jambatan yang merentasi Sungai Kelang.

Setakat bulan Mei 2017, lebih daripada tiga perempat daripada komponen pembersihan sungai dalam projek Sungai Nadi Kehidupan telah siap. Kerja-kerja pengindahan di Presint 7 – yang juga dikenali sebagai Zon Warisan – telah bermula, dan kini hanya tinggal beberapa minggu sahaja untuk memperlihatkan pusat bandaraya yang baharu.

Syed mendedahkan bahawa maklumat yang diketahuinya diperolehi hasil lawatan Perdana Menteri ke Presint 7 beberapa minggu yang lepas. Sebagai pengerusi persatuan penjaja bazar Masjid India, dia telah menerima jemputan untuk menghadiri lawatan tersebut.

Syed berharap projek Sungai Nadi Kehidupan akan mengurangkan pencemaran di Kuala Lumpur dan mewujudkan satu metropolis yang lebih sesuai didiami. Dalam senarai peribadinya ialah sungai-sungai yang jernih dan tidak berbau, udara yang bersih dan nyaman – penting untuk pelanggan-pelanggan di bazar Masjid India.

Seorang pemilik restoran berhampiran dengan Masjid India dan Selangor Mansion sedang memberi makanan kepada burung merpati di tepi Sungai Klang.

Tiada persoalan mengapa Kuala Lumpur kini giat menjalankan pelbagai projek pemulihan dan pengindahan. Sungai Nadi Kehidupan tertumpu kepada lapan batang sungai di Lembah Klang. Setiap sungai akan menjalani proses pembersihan dan rawatan, manakala Sungai Klang dan Sungai Gombak akan melalui proses tambahan iaitu pengindahan sungai.

“Langkah ini memang untuk kebaikan orang ramai,” dia bertambah. “Ia tidak mendatangkan sebarang kesulitan, tetapi saya rasa kejayaan projek ini bergantung kepada kerjasama orang ramai. Projek ini akan berjaya hanya jika semua warga Malaysia memainkan peranan mereka dan mengubah pemikiran mereka mengenai alam sekitar.”

Ruang yang menyatukan kami

Sesetengah orang tidak bersedia apabila dipelawa untuk bercakap mengenai projek Sungai Nadi Kehidupan. Ada juga orang tempatan yang tidak ingin bercakap, sama ada menggeleng kepala sahaja atau tidak pedulikan apabila ditanya. Sebaliknya, rakyat asing lebih terbuka kepada soalan, dan pekerja asing yang ditemui lebih senang memberi pendapat berbanding warga Kuala Lumpur.

Taman-taman kecil dan kawasan rehat di bandaraya memberi orang ramai peluang untuk berehat dan menikmati Kuala Lumpur dan bukan hanya menggunakannya sebagai titik perantaraan.

Bagi rakyat Malaysia, bandaraya ini memerlukan lebih banyak kawasan meletak kereta dan kemudahan awam, tetapi pelancong dari Indonesia memberi pandangan yang berlainan. Seorang anak muda bernama Reki yang sedang berehat di Dataran Merdeka memberitahu bahawa perlu adanya lebih pokok, bunga-bunga dan penjaja air minuman.

“Terlalu panas di sini pada waktu siang,” dia berkata. “Saya perlu berjalan jauh sekali untuk membeli air minuman. Kawasan ini memang cantik, tetapi terlalu panas untuk bersiar-siar. Lebih banyak pokok dan tempat berteduh memang bagus, tetapi juga perlu ada penjual air minuman di sini.”

Kehangatan yang dirasai di kawasan Zon Warisan yang agak datar bertambah panas disebabkan tiadanya penjual air minuman yang kelihatan.

Beberapa meter dari Reki, Lastri sedang mengambil gambar kawan-kawannya di padang. Wanita muda ini menggemari Kuala Lumpur yang pada pandangannya menarik, dengan penduduk berbeza budaya dan seni bina yang bercampur, tetapi dia jugak hairan dengan ketiadaan penjaja makanan dan minuman di Zon Warisan.

“Saya perlu ke Pasar Seni untuk mencari makanan dan minuman. Ianya tidak jauh tetapi agak menyusahkan untuk sesiapa yang melawat Kuala Lumpur untuk berehat dan makan angin.”

Seorang bapa muda bernama Roslan mempunyai pandangan yang berlainan. Sambil berehat di atas tikar bersama isteri dan dua anak kecilnya, Roslan mencadangkan agar bangunan Sultan Abdul Samad dicantikkan dengan lapisan cat yang baru untuk membuatkannya lebih menarik. Isterinya mengangguk tanda bersetuju.

“Kita sepatutnya membina lebih banyak kawasan awam untuk orang ramai,” dia berkata. “Saya lebih suka kalau bangunan-bangunan lama seperti Kelab Selangor dirobohkan untuk membuat taman-taman awam. Robohkan sahaja dan bina taman yang mesra kanak-kanak.”

Seperti biasa, keluarga-keluarga gemar menikmati waktu petang di Dataran Merdeka, berhadapan dengan bangunan Sultan Abdul Samad. Projek Sungai Nadi Kehidupan akan menjadikan kawasan ini lebih selesa dan mudah dikunjungi apabila siap kelak.

Pandangan Roslan mungkin tidak disetujui ramai tetapi hakikatnya adalah setiap orang berfungsi dan berkait kepada Kuala Lumpur dengan cara yang tersendiri. Walaupun bangunan penting seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Kelab Selangor mempunyai peranan penting dalam sejarah dan warisan negara, ianya mungkin tidak mempunyai kepentingan bagi sesetengah warga Malaysia dari golongan kelas pekerja yang terpaksa menanti hari minggu untuk keluar bersama keluarga mereka.

Jelas bahawa bandaraya sibuk seperti Kuala Lumpur memerlukan lebih banyak tempat awam yang cantik. Taman-taman dan ruangan awam di pangsapuri merupakan tempat yang berupaya menarik perhatian dan bersifat serba guna. Ruangan awam seperti ini penting di bandaraya-bandaraya di mana aktiviti luaran dan sosial digalakkan. Ini dapat dilihat di bandaraya besar di serata dunia seperti Edinburgh, Scotland, dan Ho Chi Minh City, Vietnam. Kawasan lapang di sekitar bandar berupaya menarik orang ramai untuk meluangkan masa untuk aktiviti sosial dan rekreasi.

Mengambil langkah yang betul

Kassim yang duduk berhampiran dengan persimpangan Jalan Raja dan Leboh Pasar Besar yang tercari-cari dalam dompetnya untuk membayar denda letak kereta marah dengan tiba-tiba. Lelaki pertengahan usia itu tidak mengetahui banyak mengenai projek Sungai Nadi Kehidupan tetapi lebih mementingkan apa yang dilihat sebagai ketidakadilan.

“Tolong pastikan polis trafik lebih konsisten dalam menjalankan tugas!” dia berkata dengan suara garang. “Mereka mengeluarkan denda bila kurang pelaku salah yang membuat aduan.”

“Ada hari-hari yang saya tidak kena denda. Kenapa mereka denda orang kerana letak kereta di sini? Mana lagi saya hendak letak kereta kalau saya hendak ke sini?”

Kassim berpendapat banyak lagi yang boleh dibuat untuk menjadikan Kuala Lumpur tempat yang lebih elok untuk bekerja dan tingga, tetapi apa yang penting ialah pihak berkuasa yang telus dan konsisten.

“Kalau suatu tempat itu tempat rekreasi, letaklah kerusi. Kalau pihak berkuasa tidak mahu orang ramai ke sana, dirikan pagar,” dia berkata. “Mengapa tidak ada kerusi di tepi-tepi sungai? Kalau kami boleh membelanja wang pembayar cukai untuk meletakkan simen di tebing sungai kami, tentu sekali kami boleh membelanjakan duit supaya orang ramai boleh menikmatinya.”

Kassim tertarik apabila mendengar rancangan untuk menaik taraf sesiaran sungai, mengeluh mengenai pembinaan yang tidak habis-habis di Panggung Bandaraya dan kelihatan gembira apabila diberitahu tentang loji-loji rawatan air sungai dan sisa pepejal yang bakal dibina.

Kesan terhadap projek Sungai Nadi Kehidupan terhadap Kuala Lumpur, dan bagaimana projek ini dapat berkait dengan orang yang boleh mendapat faedah darinya.

Sungai Nadi Kehidupan berupaya untuk memanfaatkan orang ramai pada skala yang besar. Pejalan kaki dijangka menjadi golongan yang paling banyak menerima manfaat, berdasarkan rancangan untuk memperbaik laluan pejalan kaki dan tanda jalan. Golongan seterusnya adalah warga kota yang akan dapat menikmati taman-taman di tepi sungai, plaza dan kemudahan masyarakat.

Melihat Sungai Klang dan Sungai Gombak yang berpotensi untuk menarik minat orang ramai dari segi aktiviti rekreasi dan pembangunan komersil, matlamat projek Sungai Nadi Kehidupan di lembangan sungai adalah untuk meningkatkan kesalinghubungan dan mendirikan lebih banyak ruangan sosial yang kondusif.

Apa yang dijanjikan adalah pembaharuan dan nafas baru kepada kawasan-kawasan bandaraya yang telah kian lama pudar, dan pusat-pusat tarikan yang baru. Usaha-usaha di bawah projek Sungai Nadi Kehidupan besar kemungkinan akan menghasilkan evolusi Kuala Lumpur sebagai destinasi utama di dunia.

Semua ini tidak mustahil bagi bandaraya yang berada di kedudukan kesepuluh pada tahun 2015 dalam senarai lawatan pelancong asing yang paling ramai di dunia, iaitu seramai 12 juta pelancong.