Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing

Apa yang kita boleh pelajari daripada Jawatankuasa Hijau Wangsa Melawati dan usaha mereka menyegarkan kembali sungai yang mengalir merentasi kejiranan mereka?

Renjer Sungai Wangsa Melawati menunjukkan cara mereka mengambil sampel air Sungai Gisir kepada Renjer Pulau Pangkor yang datang melawat.

Kami menjenguk ke dalam baldi berisi air yang diangkat dari sungai yang mengalir di bawah. Airnya tidaklah sejernih mana dan tidaklah kelam keruh, tetapi antara keduanya, dan itu mengejutkan kami. Dari tempat kami berdiri, di atas tebing, sungai itu kelihatan sangat jernih, dan pemandangan ketika itu boleh disifatkan seperti mengalu-alukan kami mendekatinya.

“Rupa boleh menipu,” kata Mohammad Mokhtar Mohd Ali. “Kerana itu kami tidak hanya mengagak melalui pemerhatian. Kami buat ujian sepatutnya.”

Dan itulah sebab mengapa kami berada di sini. Mokhtar adalah sebahagian daripada ‘renjer sungai’ Wangsa Melawati yang bertemu sebulan sekali untuk menguji air Sungai Gisir yang mengalir melalui kejiranan mereka.

Sungai Gisir ialah salah satu anak sungai kecil Sungai Klang. Malah, sungai itu tersangatlah kecil sehinggakan orang ramai, termasuk penduduk di situ, tidak menyedari pun kewujudannya. Disebabkan salurannya yang sempit, jumlah air yang mengalir daripada mata airnya satu ketika dahulu pernah menjadi ancaman berterusan kepada penempatan di sepanjang tebing sungai. Bagi mengelakkan banjir, sungai itu kini diliputi tebing konkrit yang tinggi, menandakan sempadan antara Kuala Lumpur dan Selangor.

Dengan kit ujian mudah, sukarelawan dapat mengukur secara tepat kesihatan sungai dan menyediakan data bernilai kepada agensi kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan sungai.

Setiap bulan, kumpulan sukarela penduduk menguji tahap pH, oksigen, fosfat dan nitrat air, dan kemudian memuat naik data tersebut ke laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran untuk pemantauan kualiti sungai jangka masa panjang. Melalui kaedah ini, data boleh dikongsi dengan mudah antara agensi kerajaan yang mengharapkan maklumat dan pemerhatian setempat bagi memformulasikan strategi baru pemantauan sungai.

‘Renjer sungai’ atau nama panjang mereka iaitu Jawatankuasa Hijau Wangsa Melawati, ditubuhkan pada tahun 2015 di bawah Program Khidmat Masyarakat Sungai Nadi Kehidupan (ROL-POP). Usaha besar-besaran ini menelan belanja berbilion ringgit dilakukan kerajaan untuk memulihkan dan menyegarkan kembali sungai-sungai Kuala Lumpur merupakan cita-cita yang besar tetapi tidak mustahil dicapai. Untuk membersihkan sungai kita dan mengubahnya dari Kelas III (tidak sesuai untuk sentuhan badan) kepada Kelas IIB (sesuai untuk sentuhan badan dan kegunaan rekreasi) akan memerlukan kerja keras semua pihak.

Usaha itu termasuklah komitmen daripada komuniti yang tinggal di sepanjang sungai itu, terutamanya di hulu sungai. Wangsa Melawati, sebuah kejiranan berpengaruh yang menempatkan hampir 7,000 penduduk dibantu oleh Global Environment Centre (GEC), sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan yang dipilih kerajaan untuk melaksanakan program khidmat masyarakat.

Penglibatan komuniti sangat mustahak dalam kejayaan projek Sungai Nadi Kehidupan tetapi ia merupakan proses yang sangat perlahan kerana mengambil masa yang lama dan usaha untuk menyakinkan penduduk setempat yang tidak pernah memikirkan tentang sungai itu sehingga kini. Jauh di mata, jauh di hati.

Kebosanan tidak pernah wujud dalam mesyuarat kerana setiap orang menyumbang idea dan maklum balas. Kelangsungan mana-mana program sangat bergantung kepada komitmen dan penglibatan sukarela ahli-ahli komuniti.

“Kami perlu dilihat sentiasa ada untuk membantu mereka,” kata Dr Kalithasas Kailasan, penyelaras program.

Dia kemudiannya menjelaskan bagaimana pendekatan berbeza digunakan untuk komuniti yang berlainan. Misalnya, kawasan berpendapatan rendah cenderung untuk memberikan sambutan terbaik kepada pendekatan ekonomi seperti ‘menukar sampah jadi duit’. Ini boleh dilakukan menerusi usaha seperti pengumpulan minyak masak yang sudah digunakan dan dikitar semula untuk dijual.

Dalam kes lain pula, bekerjasama dengan institusi keagamaan juga memberikan kesan, seperti dalam kes Wangsa Melawati di mana masjid di kawasan itu bersikap progresif serta aktif menjalankan aktiviti di kawasan kejiranan. GEC berhubung dengan komuniti melalui pengerusi Masjid Al-Muttaqin, Yahaya Din yang juga bergiat aktif dalam persatuan penduduk.

Yahaya, yang kini bertindak sebagai penasihat kepada Jawatankuasa Hijau, berkata apabila GEC pertama kali menghubunginya tentang projek pemantauan sungai pada 2015, dia mengalu-alukan idea tersebut kerana dia percaya masjid perlu menjadi lebih daripada sekadar tempat menyuburkan rohani.

“Kita tidak hanya tertumpu kepada ilmu agama tetapi juga kerja komuniti seperti sukan dan pemeriksaan kesihatan, dan orang bukan Islam sahaja dialu-alukan,” katanya.

Haji Mokhtar percaya masjid tidak boleh hanya menjadi tempat orang beribadat, tetapi juga ruang komuniti yang mengalu-alukan rakyat daripada pelbagai kepercayaan dan akidah bagi kebaikan masyarakat.

Oleh itu, taklimat projek kepada komuniti dilakukan GEC dalam kawasan masjid itu. Kemudiannya, masjid itu juga mempunyai pusat kitar semula, dan menganjurkan bengkel membuat lilin daripada minyak masak yang telah digunakan. Malah, pada Ramadan tahun 2015, masjid itu turut mengadakan kempen memerangi penggunaan kotak polistirena, dengan mengedarkan bekas yang boleh diguna semula kepada penduduk di situ.

Susulan aktiviti yang dijalankan, Ahli Jawatankuasa Hijau dijemput untuk melawat Jepun tahun lepas bagi mendapatkan idea baru dalam pengurusan sisa terutama pada peringkat komuniti.

“Kami belajar bagaimana orang Jepun boleh berjaya dalam pengurusan sisa kerana mereka mengajar perkara seperti kitar semula sejak usia muda lagi sedangkan di sini kita tidak mendidik terlebih dahulu dan terus melaksanakannya,” kata Yahaya.

Beliau dan Mokhtar sangat kagum dengan sungai jernih yang mengalir merentasi Tokyo, terpegun dengan itik liar yang berenang di dalamnya. “Kami rasa seperti kami berada dalam hutan tetapi dengan bangunan pencakar langit penuh di sekeliling,” kata Mokhtar.

Ahli Jawatankuasa Hijau Wangsa Melawati bergambar dengan delegasi pelawat Pihak Berkuasa Kebersihan Tokyo (CAT), Jepun yang datang belajar kaedah pembersihan sungai, aktiviti komuniti, dan pengurusan sisa antara dua negara.

Komuniti Wangsa Melawati adalh salah satu kejayaan usaha khidmat masyarakat, dan perkara ini disebabkan sukarelawan terlibat menjadikannya aktiviti yang menggembirakan. Jelas sekali, tiada sebab untuk merasa bosan dalam kerja mereka memantau sungai. Setiap lawatan akan bermula dengan gelak ketawa, dan berakhir dengan bersarapan bersama.

Masyarakat yang tidak ambil peduli masih lagi satu cabaran sehingga kini, tetapi setelah dua tahun melakukan usaha ini, cebisan harapan mua muncul. Farah Nurkhairani Abu Kasim juga seorang renjer sungai, dan beliau berkata perubahan dalam kalangan penduduk yang menetap di sepanjang tebing sungai itu sudah kelihatan walaupun kecil. Sebelum ini mereka membuang sampah ke dalam sungai yang mengalir, tetapi kini mereka berusaha menghiasi tebing sungai itu dengan tanaman berpasu dan bangku rehat.

“Apabila orang kerap melihat kami di sini, mereka rasa ingin tahu, dan kami dapat peluang untuk menjelaskan kerja kami,” kata Farah. “Prosesnya perlahan tetapi kini saya rasa mereka lebih mengambil berat tentang persekitaran mereka.” Perubahan boleh berlaku, tetapi hanya sekiranya kita percaya bahawa ia boleh dilakukan dan komitmen diberikan kepada usaha jangka masa panjang ini.